Pemula Kalam

Kalimah Pengerat Ukhuwah Islamiyyah

Wednesday 31 October 2012

My Tokoh : Dato' Dr Hamid Arsyat. Hayatilah kisah hidup beliau.sungguh mengagumkan.


Assalamualaikumwarahmatullah.

Dato' Dr. Hamid Arshat antara pakar sakit puan melayu yang terawal sekali muncul di persada perubatan Malaysia.Beliau merupakan sumber rujukan orang-ramai untuk masalah kesuburan. Doktor yang sempat saya berkenalan rapat ini seorang yang peramah bersama pesakitnya, bersifat sangat penyabar, tetapi berperibadian tegas dan berprinsip.

Bermula mendapat pendidikan asas di Johor dan kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya pada tahun 1970, beliau , memperolehi MBBS di situ. Seterusnya pada tahun 1976 beliau mendapat MRCOG dari London diikuti FRCOG dari London juga pada tahun 1987. Dari situ berputiklah satu karier yang sungguh menarik yang beliau perolehi sepanjang kerjaya hidupnya menjadi seorang doktor pakar sakit puan.

Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor di Universiti yang sama. seterusnya beliau dilantik menjadi Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. Akhirnya beliau menjadi Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluara Negara. Setelah itu beliau membuka satu klinik pakar khas, sebagai seorang konsultan untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk perkhidmatannya khusus untuk masalah ketidaksuburan dan masalah sakit puan. Beliau sendiri adalah seorang ketua keluarga yang bahagia bersama isterinya Toh Puan Maimon, dikurniakan lima orang cahaya-mata rumah-tangga mereka dan tiga orang cucu yang beliau sambut sendiri ke dunia ini. Suasana rumahnya tidak pernah sepi dari disulami ketawa gurau senda anak-anak kecil , remaja mahupun yang dewasa.

Kelulusan
1. April 1970-Sept 1970
Mendapat Sarjana Perubatan di Universiti Malaya Kuala Lumpur, Malaysia
2. April -Sept 1970
Pegawai Perubatan di Hospital Besar, Melaka
3. Sept - Mac 1971
Pegawai Perubatan di Unit Surgeri di Hospital Besar, Melaka
4. Oktober 1972
Pensyarah pelatih di Jabatan bstetriks & Gynekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
5. Oktober 1972 - June 1973
Pegawai Perubatan di Jabatan Obstetriks & Gynekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
6. Oktober 1972 - June 1973
Pegawai Perubatan di Jabatan Obstetriks & Gynekologi , University Hospital , Petaling Jaya.
7. Julai 1973 - Jan 1974
Pegawai Perubatan di Jabatan of Urologi& Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur.
8. Februari 1974 - Januari 1976
Registrar di Jabatan Obstetriks and Gynekologi Southampton Universiti, England
9. Disember 1975
Menghadiri kursus 2 minggu dalam Obstetriks & Gynekologi oleh Institut of Obstetriks, Queen Charlotte Hospital, London, United Kingdom.
10. Januari 1976
Lulus peperiksaan MRCOG di London, United Kingdom.
11. Februari 1976
Pulang ke Malaysia dan bekerja sebagai Pensyarah di Jabatan Obstetriks & Gynekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
12. November 1978
Bertugas sebagai 'Director of Specialist & Reproductive Research Centre' National Family Planning Board (NFPB), Malaysia
13. Januari 1979
Profesor Madya di Jabatan Obstetriks & Gynekologi
14. Mei 1983
Profesor di Jabatan Obstetriks & Gynekologi University Kebangsaan Malaysia
15. Februari 1985 - Februari 1989
Ketua Pengarah di National Population and Family Development Board Malaysia.
16. February 1989 - sehingga kini
Konsultan Obstetrik & Gynekologi di Pantai Medical Centre serta Klinik Dr. Hamid Arshat, Plaza Damansara.
<< Prev - Next
Dilemma Jadi Bidan
Setelah kian lama iaitu lebih 30 tahun menjadi seorang doktor pakar bidan lelaki, sekarang mulalah timbul dari sanubari saya samaada apa yang saya lakukan dan amalkan itu dihalalkan oleh agama Islam.
Saya dalam dilemma dan sedang mencari-cari sumber rujukan yang mungkin mengandungi fatwa tentang kedudukan doktor bidan lelaki. Saya sedang mempelajari Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. seraya mencari jika ada nas-nas yang boleh memandu saya. Tetapi pengetahuan saya tentang ilmu Quran sangat cetek dan tidak mencukupi, namun saya masih teruskan usaha untuk mencapai maksud . Insyaallah satu hari kelak saya akan dapat jawapan.
Walau demikian saya sentiasa berdoa serta memohon keredhaan Allah s.w.t., mudahan saya mendapat ganjaran baik dan dimasukkan dalam golongan hamba yang bertaqwa.
Setelah menjangkau ke umur enam puluhan , saya rasa semakin dekat dengan destinasi , iaitu pertemuan dengan Pencipta saya Allah s.w.t. Pertemuan ini adalah benar dan tidak boleh dielak dan bila sampai waktu, setiap insan akan menemui ajal dan saat ini tidak boleh ditangguh atau dikedepankan. Dialam baqa’ perkara-perkara penting yang akan dikira ialah, amalan baik kita, sedekah dan jariah dan ilmu yang dimanfaatkan.
Dalam usaha untuk meninggalkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, saya sedang mengatur beberapa langkah untuk mencapai kearah demikian.
Menjadi tabib atau doktor adalah satu pekerjaan murni kerana doktor berusaha menyembuhkan pesakit, walaupun ada kalanya kita gagal untuk menyembuhkan sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan penderitaan dan kesakitan. Sekarang ini bidang rawatan , bukan sahaja melibatkan bahagian fizikal atau tubuh badan , tetapi juga merangkumi aspek-aspek emosi dan mental serta jiwa dan rohani.
Oleh itu doktor sekarang bukan sahaja perlu mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang perubatan moden , malah juga perlu ilmu pengetahuan saikologi dan agama bagi menangani berbagai jenis penyakit. Pengadunan atau integrasi bidang-bidang ilmu tersebut dalam mendekati pesakit-pesakit adalah kaedah yang terbaik dan berkesan.
Inilah kaedah pendekatan yang saya sendiri cuba mengamalkan tetapi kelemahan saya dalam ilmu agama islam masih perlu diperbaiki. Sekarang banyak usaha dari berbagai pihak untuk melatih bakal doktor dengan pendekatan tersebut.
Pesakit wanita islam

Sebaiknya pesakit-pesakit wanita dirawat oleh doktor wanita islam dan ini menjadi tanggung jawab setiap muslimah untuk melaksanakan. Dalam keadaan-keadaan tertentu seperti darurat, pilihan kedua ialah doktor lelaki islam. Doktor-doktor bukan islam menjadi pilihan terakhir. Menyusuli garis panduan ini ,
"Patutkah doktor-doktor lelaki menjadi pakar bidan dan sakitpuan?"
Inilah dilema saya. Walau demikian saya cuba atasi perasaan ini dengan niat yang ikhlas untuk membantu kaum wanita yang memerlukan dan percaya kepada kemampuan saya. Jika saya seorang doktor wanita islam, mungkin lebih ramai lagi pesakit wanita akan menemui saya. Tetapi saya bersyukur kepada Allah s.w.t. saya ini seorang lelaki yang telah dianugerahkan dengan bermacam nikmat yang tidak terhingga.
Pesakit-pesakit wanita masih mahu berjumpa dan percaya kepada saya. Walau pun pilihan utama bagi wanita ialah doktor wanita, namun ada dikalangan mereka yang lebih selesa dengan doktor lelaki. Saya pun tidak faham mengapa kaedaan seperti ini berlaku. Ini adalah pilihan masing-masing yang mungkin berasaskan atas beberapa faktor.
Setiap insan mempunyai hak sendiri untuk memilih sesuatu. Tetapi bagi wanita muslim pengaruh luar yang terpenting ialah pilihan atau keputusan suami. Seringkali suamilah yang memilih doktor bagi wanita tersebut. Pernah saya buat satu kenyataan dalam satu majalah wanita pada tahun 1994 tentang sebab-sebab mengapa ramai wanita memilih doktor lelaki. Ekoran dari kenyataan saya tersebut ada setengah doktor wanita yang tidak senang hati dan membuat aduan dan melapurkan kapada Majlis Perubatan Malaysia yang seterusnya menuduh saya melanggar etika perubatan, lantaran meletakkan saya dalam kesulitan. Suatu hari kelak akan saya ceritakan sepenuhnya peristiwa ini.
Kepercayaan atau keyakinan terhadap seorang doktor bukan atas popularitinya tetapi biasanya dari ”recommendation” atau syor dari pesakit-pesakit lain yang telah berasa puas-hati dengan rawatan saya. Pesakit-pesakit yang berjaya dirawat dan berasa puas hati serta gembira akan memberitahu kepada rakan-rakan, ahli-ahli keluarga serta orang lain tentang khidmat saya. Ini akan tersebar dengan sendiri dari mulut ke mulut lain. Ramai di kalangan pesakit-pesakit saya yang membawa saudara-mara dan teman-teman untuk mendapat rawatan dari saya.
Sekarang ini bukan sahaja saya telah menyambut kelahiran anak-anak mereka, malah saya juga telah menyambut kelahiran cucu-cucu mereka.
Beginilah kaedah ”iklan” yang berlaku di kalangan doktor-doktor, iaitu sama kaedahnya seperti perniagaan lain. Tetapi saya ingin menekankan bahawa khidmat perubatan bukan suatu perniagaan , hanya kita mendapat upah yang telah ditetapkan kadarnya oleh Persatuan Doktor-doktor Perubatan bagi perkhidmatan pakar.

Keyakinan pesakit terhadap doktor bukan hanya kerana ilmu dan kemahiran yang ada pada doktor tersebut , tetapi juga dipengaruhi oleh tata-tertib, tingkah laku, budi-bahasa dan akhlaknya. Dalam kata-kata atau istilah perubatan perkara ini digelar ”good bedside manners”. Doktor-doktor yang mudah senyum, suka berbincang tentang segala masalah yang dikemukakan oleh pesakit, ramah dan mesra, bersimpati dan bertolak-ansur serta mudah didampingi tentulah akan dikunjungi oleh ramai pesakit-pesakit.
Malangnya ada juga doktor yang tidak memenuhi ciri-ciri tersebut , mungkin bukan sebab perwatakan mereka tetapi disebabkan oleh beban kerja yang terlalu banyak dan mendesak seperti yang berlaku di hospital dan klinik kerajaan.
Hubungan doktor dengan pesakit.
Berbalik kepada isu wajarkah seorang wanita mendedahkan aurat dan bahagian sulitnya untuk diperiksa dan dirawat oleh doktor lelaki. Dalam kaedaan biasa iaitu tidak ada penyakit, memanglah tidak wajar dan haram hukumnya. Tetapi dalam kaedaan sakit dan darurat ia diharuskan dengan syarat ada kebenaran darinya dan suami atau jika belum berkahwin dari ibu atau bapanya.
Ramai orang bertanya apa perasaan saya apabila memeriksa kemaluan dan peranakkan wanita. Adakah ia menimbulkan ghairah atau lainnya? Biasanya apabila berdepan dengan situasi demikian, minda saya akan terus memikirkannya sebagai tugas dan pelaksanaan tanggung jawab serta kepercayaan yang diberikan kepada saya. Biasanya saya mulakan dengan bacaan bismillah untuk mendapat perlindungan Allah dari godaan syaitan. Seorang jururawat wanita mesti berada disamping saya untuk membantu serta mengelakkan dari fitnah.
Memang tidak boleh disangkal bahawa setengah wanita mempunyai tubuh yang amat cantik. Saya percaya kaedaan seperti ini akan menggoda orang lelaki biasa tetapi sebagai doktor yang merawat, saya terpaksa menumpukan minda ke arah penyakitnya bukan kecantikan tubuhnya. Sebelum melakukan pemeriksaan, jururawat pembantu akan menyediakan pesakit wanita dalam suatu kedudukan di mana pesakit tersebut tidak terdedah dan bahagian yang perlu diperiksa sahaja yang didedahkan. Dalam lain-lain perkataan kita tidak mededahkan aurat pesakit wanita dengan sewenang-wenang.
Hubungan antara doktor dengan pesakit wanita perlu dikekalkan sebagai hubungan professional tanpa mencetus hubungan cinta atau asmara. Etika ini patut dihormati oleh kedua-dua pihak. Seperti murid dengan guru adalakalanya murid jatuh cinta dengan gurunya atau sebaliknya. Mengikut etika perguruan, jalinan cinta antara murid dengan guru tidak sepatutnya dibenarkan, tapi banyak yang menghasilkan perkahwinan.
Di setengah negara barat, seseorang doktor yang menjalinkan hubungan cinta atau berkahwin dengan pesakitnya boleh didakwa dan munkin ditarik balik lesen pengamal perubatannya. Di negara kita saya belum pernah mendengar kes seperti ini.

Seorang doktor pakar bidan seperti saya telah ditempatkan di satu kedudukan yang dipercayai oleh para suami atau ibu bapa untuk memeriksa serta mengendalikan rawatan bagi pesakit wanita. Ini adalah satu keistimewaan dan penghormatan dan saya tidak boleh menyalah-gunakan kedudukan ini.

Menyimpan rahsia pesakit
Selain dari aduan tentang penyakit tubuh badan, pesakit-pesakit wanita sering juga akan meluahkan perasaan mereka serta menceritakan masalah-masalah suami isteri, dengan anak dan saudara mara, masalah kerja dan dengan rakan serta teman. Segala maklumat tentang pesakit adalah rahsia dan saya atau kakitangan klinik tidak ada hak untuk menceritakan atau mendedahkannya kepada sesiapa, walhal kepada isteri saya pun.
Wanita memang banyak cerita, hanya kebiasaannya doktor tidak cukup masa untuk mendengar kesemuanya sebab perlu melayan ramai pesakit. Walau demikian seringkali saya suka berbual dengan pesakit atau suaminya tentang perkara lain dari penyakitnya.
Di antara perkara yang perlu dirahsiakan ialah kandungan luar nikah yang mana saya perlu menyambut kelahiran serta mengaturkan anak diangkat oleh satu pasangan suami-isteri yang mandul. Ada juga dikalangan pesakit yang menjadi isteri kedua atau ketiga kepada sipulan yang mungkin terdiri dari orang-orang ternama dan ini perlu dirahsiakan.

Cerita-cerita tentang masalah-masalah hubungan seks sering saya dengar dan jika mampu saya selesaikan sendiri , tetapi ada kalanya saya perlu merujuk masalah-masalah seperti ini kepada pakar-pakar lain. Perkara ini juga perlu dirahsiakan kerana ia melibatkan martabat seseorang.
Menyimpan rahsia bukanlah senang. Memang telah menjadi budaya masyarakat kita untuk mendedahkan perbadi orang lain khususnya tentang keburukkan mereka. Adakala saudara dan teman menalipon saya tentang perihal pesakit tertentu. Biasanya saya hanya akan beritahu jika yang bertanya adalah suami atau ibu bapa pesakit. ( Bersambung)
Di Simpang Permulaan
Mengapa Pilih Jadi Pakar Bidan?
Sekarang ini murid-murid lepasan sekolah menengah tidak menghadapi banyak masalah untuk memilih kerjaya mereka berbanding zaman sekolah saya dulu.
Panduan memilih jurusan atau kerjaya terdapat di mana-mana termasuk di sekolah, di media cetak atau elektronik serta di dalam seminar atau kursus yang dianjurkan pihak kerajaan atau swasta. Kadang-kadang murid jadi pening dan bingung untuk memilih kerjaya kerana terlalu banyak nasihat dan petunjuk.
Ada pula yang kerjayanya telah ditentukan oleh ibu-bapa mereka kerana inginkan sangat anak-anak mereka jadi doktor, jurutera atau peguam. Ada pula yang terpengaruh setengah personaliti di kaca televisyen atau majalah-majalah. Saya ada terdengar ibu-bapa yang mengatakan anak mereka bercita-cita untuk menjadi seperti Dr. Hamid Arshat. Saya bukan bertujuan untuk bermegah atau bongkak, tapi ini satu kenyataan ekoran dari kemunculan saya yang sering di kaca televisyen sejak tahun lapan puluhan.
Mereka ini ingin mengikuti jejak saya mungkin hendak glamour, dan bukan betul-betul faham bagaimana pahit maung hendak jadi seorang doktor pakar.
Saya tidak keberatan jika digunakan sebagai sumber inspirasi bagi pelajar-pelajar. Malah saya rasa gembira kerana ini akan mendorong anak-anak untuk rajin berlajar. Tetapi jangan beranggapan bila jadi doktor akan menjadi kaya, masyhur dan glamour. Jika berfikir demikian banyak akan hampa. Contohnya anak saya sendiri, lepas S.P.M. beliau telah ditawarkan biasiswa untuk belajar di luar negeri dalam jurusan kejuruteraan. Beliau berfikir sejenak dan mengatakan kepada saya yang dia lebih suka memasuki jurusan perubatan. Saya nasihatkan untuk berfikir masak-masak dan sembahyang tahajud untuk mendapat panduan Allah s.w.t. Akhirnya beliau memutuskan untuk menukar biasiswa dari jurusan kejuruteraan kepada perubatan sedangkan ada beberapa rakannya terus belajar dalam bidang kejuruteraan. Sekarang ini bila dia lihat rakannya yang jurutera menyandang jawatan dengan syarikat multi-nasional dan bergaji besar dia mengeluh dan menunjukkan tanda-tanda menyesal atas pemilihannya. Menyesal kemudian tidak berguna.

No comments:

Hari Ini LeBiH BaiK daRi seMaLam

Hari Ini LeBiH BaiK daRi seMaLam
SEm0ga haRi anda haRi iNi leBih BaiK daRi semaLam